Isnin, Januari 09, 2017

Anak anakku Ingatlah...


Salam buat anak-anakku yang tersayang,

Alhamdullillah sampai saat ini bertuah sungguh abah rasa mempunyai anak-anak seperti kamu semua. Tak dapat abah luahkan dengan kata-kata yang kamu semua anak-anak yg hebat. Tak sia-sia selama ini, setiap kali lepas solat lima waktu abah berdoa agar dikurniakan anak-anak yang baik. Walau pun masih ada kekurangan yang perlu diperbetulkan namun abah anggap bukanlah perkara yang susah kerana kamu semua mudah untuk menerima teguran dan nasihat. 
Sudah jauh abah berjalan meniti, menapak, melangkah malah berlari mengejar impian abah untuk membina keluarga bahagia. Acapkali abah terlajak dan tersasar melalui bebagai halangan namun abah rempuh juga demi kalian semua. Jiwa abah menjadi kuat bila melihat kalian semua yang sanggup bersama dalam segala keadaan. Terima kasih juga pada ibu kamu yang tak pernah serik, lelah dan mengalah menjadi isteri abah dan ibu kalian. Dengan penuh tanggungjawab dan taat setiap masa ibu kamu bekerja keras memastikan kamu semua mempunyai apa saja yang diperlukan seharian. Tiada hadiah yang paling beharga buat ibu kamu selain cinta abah dan kasih sayang dari kamu semuga dia terus berada dalam kesihatan yang baik. Hargailah pengorbanannya sampai bila-bila. Benar kata pepatah, “Syurga itu dibawah tapak kaki ibu”. Abah memohon kepada kalian semua andainya masa abah sudah sampai, jagalah ibu sebaik mungkin sebab jiwanya mudah tersentuh. Ibu kamu selalu merahsiakannya dari kalian. Hanya abah yang tahu kesedihannya bila saat kalian tersasar berkata. Jangan ragut hati ibu yang redha kerana bila hati ibu disakiti hidup tak akan diberkati sehingga ibu berkata ‘Aku memaafkan’. Kasih ibu membawa kesyurga, kasih ayah berkorban nyawa.

Anak-anakku,
Bukan mudah menjadi ayah kalau tiada jiwa yang kental dan hati yang tabah. Menjadi ayah bukan sekadar menyediakan keperluan harian malah memastikan kalian semua berada dilandasan yang betul dan diberkati Allah. Abah tak mahu kalian menjadi seperti abah dahulu yang selalu dambakan kasih sayang ayah yang boleh dikira berapa kali atuk kamu berikan. Bukan niat nak mengungkit bahkan nak mencemuh tetapi abah tak pernah merasakan apa yang kalian rasai hari ini, boleh didapati masa abah dulu. Walau apa pun yang atuk lakukan pada abah, tak pernah sekali pun abah membenci atuk mau pun berdendam, mungkin ada sebab yang tertentu. Sayang abah pada atuk terus kekal sampai kini. Dah lebih 2 tahun atuk pergi meninggalkan kita. Sebab tu abah jarang berkata-kata sebab pedih bila hati terguris. Malah abah berhenti merotan bila satu hari abah merotan along dengan hati yang marah. Abah menyesal sampai sekarang, rasanya kalau boleh mahu kembali kesaat itu atau putar kembali sejarah agar tidak berlaku kejadian itu. Abah tahu betapa sakitnya rotan kena badan sakit lagi hati didalam. Abah mohon maaf sekali lagi dari hati yang tulus agar jiwa abah bebas dari kepedihan itu.
Kini kalian sudah besar dan sudah boleh membuat keputusan sendiri. Rasa macam tak percaya yang abah sudah ada anak-anak yang remaja. Cepat betul masa berlalu. 
Hari ini abah menoleh kembali perjalanan yang pernah abah lalui untuk sampai ketahap apa kita ada sekarang amat menginsafkan abah sebagai insan makhluk Allah. Melalui perjalanan berliku, mendaki dan apa saja yang abah tempuhi bukan suatu yang mudah, hampir saja abah putus asa kerana kepayahan dan kegetiran yang datang namun bila mengingatkan kalian semua jiwa abah jadi kuat dan degil. Bak kata pepatah “dimana ada kemahuan disitu ada jalan”, sungguh, yang penting yakin pada diri yang mana usaha tak kenal putus asa mencapai kejayaan. Abah tak mahu kalian dalam kesusahan macam abah dahulu segala-gala atas nasib. Apa yang abah mahu kalian belajarlah semampu yang boleh dan capai kejayaan setinggi yang mampu supaya akan mudah melayari kehidupan yang bakal dilalui nanti. Ingat tanpa ilmu kita akan sesat didunia ni dan tanpa amal kita akan sesat diakhirat jadi carilah kedua-duanya demi bekalan masa depan. Jangan lepas setiap saat dari mulut kamu ucapkan “Ya Allah, ya Tuhan kami, ampunilah segala dosa kesalahan kami dan dosa-dosa kesalahan kedua ibu bapa kami, serta kesihanilah kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka berdua mengasihani kami semasa masih kecil”. Inilah yang selalu abah ucapkan bila abah dalam kesusahan, keraguan dan kesedihan. Tanpa mereka berdua (tok dan wan) abah tiada didunia ini. Walau abah melalui pengalaman pahit tapi abah bangga dengan mereka kerana mengajar abah hidup dengan lebih bermakna. Apa yang dapat abah lakukan demi membalas jasa mereka dengan sentiasa berdoa semuga berada bersama para solihin. Sebenarnya dalam setiap tapak kita melangkah kita akan diuji dengan ujian yang bergantung dengan kemampuan. Allah itu adil kepada hambanya. Jangan kalah malah hadapi dengan hati yang tawadduk semuga keimanan kita bertambah.

Wahai anak-anakku,
Abah ingin berpesan sebagai muslim sejati jangan lupa solat. Sebagus mana kita, setinggi mana pun kita berada, sekaya mana sekali pun malah siapa pun kita tak SOLAT tak bibuna hidup ini. Maka sia-sia saja apa yang kita lakukan selama ini. Solat itu tiang pada kehidupan. Ia berhubung kait dengan yang telah pergi. Maksud abah anak yang soleh akan memudahkan kehidupan ibubapa yang telah pergi buat selamanya dan dia akan mendapat rahmah dari Allah selagi solatnya dipelihara. Bila solat kita tak tinggal secara otomatik yang lain akan kita turut dengan mudah. Itu sebab abah kata solat itu penting. Alhamdullillah setakat kalian semua masih memelihara solat. Abah cukup bangga punya anak-anak yang taat perintah Allah. Usia abah dah sampai ke penghujung, harapan apa yang abah bekalkan kepada kalian semua peliharalah sebaik mungkin supaya tak sesat kejalan pulang nanti. Ingatllah dimana saja abah berada belum pernah sesaat pun abah lupa siapa anak-anak abah. Abah terlalu sayangkan kalian semua, andai nyawa sebagai taruhan abah sanggup melakukannya. Sentiasalah berbaik-baik antara kamu adik beradik, bantu membantu dan hormat menghormati supaya ikatan yang ada tetap kekal sampai bila-bila. Akhirkata abah memohon dari hati yang tulus sejuta kemaafan andai ada perkara yang membuat kalian terasa atau yang membuat kalian marah pada abah. Bagi abah memaafkan sentiasa ada dalam diri abah untuk anak-anaknya. Bukan ke kemaafan suatu dendam yang terindah. Salam sayang buat semua.

HULU SELANGOR AMATEUR RADIO FAN CLUB