Jumaat, April 03, 2009

RAKAN PRADAS BANTUAN KECEMASAN

Lelaki merintih 30 minit kaki tersepit dalam nahas



RAWANG: Seorang pekerja sebuah syarikat penghantaran hanya mampu merintih dan menjerit kesakitan apabila tubuh serta kakinya tersepit dalam lori dinaiki selepas kenderaan berkenaan merempuh belakang sebuah lori pasir.

Dalam kejadian jam 11 pagi semalam, mangsa yang luka pada tangan selain patah kaki kanan bagaimanapun gagal dibawa keluar orang ramai berikutan keadaan hadapan lori berkenaan remuk akibat pelanggaran berkenaan.

Pegawai Unit Bantuan Kecemasan Radio Dua Hala Selangor (Peradas), Shukor Hashim, berkata ketika kejadian, mangsa dikenali sebagai Kumar, 40-an, bersama rakannya dalam perjalanan pulang ke Kuala Kubu Bharu melalui jalan Serendah di sini.

Menurutnya, rakan mangsa yang memandu kenderaan bagaimanapun tidak sempat mengelak sebelum merempuh belakang sebuah lori pasir yang membuat pusingan secara mengejut tanpa memberi isyarat.

“Difahamkan, kenderaan mangsa yang mengekori agak rapat lori itu menyebabkan ia gagal mengelak sebelum merempuh belakang lori pasir itu yang membuat pusingan U di kawasan larangan.

“Akibat pelanggaran itu, rakannya tercampak keluar manakala Kumar tersepit dalam lori sebelum mangsa cuba diselamatkan beberapa anggota polis dan orang ramai yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

“Anggota polis dan orang ramai yang berusaha membantu tidak mempunyai peralatan lengkap untuk menyelamatkan mangsa yang berulang kali merayu dan merintih kesakitan.

“Kami hanya menggunakan peralatan biasa seperti alat hidrolik menukar tayar kenderaan dan usaha itu berhasil selepas mangsa akhirnya dapat ditarik keluar 30 minit kemudian,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa patah kaki kanan selain luka pada paha dan tangan kirinya.

Menurutnya, rakan mangsa bernasib baik kerana tercampak keluar daripada kenderaan itu dan hanya cedera ringan.

“Sebaik berjaya mengeluarkan Kumar, mangsa kemudian dibawa ke Pusat Kesihatan Serendah menggunakan sebuah ambulans yang juga kebetulan melalui kawasan berkenaan,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Komen

HULU SELANGOR AMATEUR RADIO FAN CLUB