Rabu, Jun 02, 2010

LATIHAN MENYELAMAT DI AIR

SATU LATIHAN MOTIVASI DAN LATIHAN
MENYELAMAT DIAIR TELAH DIJALANKAN
DI PULAU PERHENTIAN BERMULA
30/05/10 - 01/06/10.


Jabatan Bomba Dan Penyelamat Perkasakan Pasukan Penyelamat Di Air

BESUT, 31 Mei (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memperkasakan Pasukan Penyelamat di Air jabatan itu dalam usaha memenuhi keperluan semasa.

Penolong Ketua Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Amer Yusof berkata kini terdapat 29 Pasukan Penyelamat di Air yang ditempatkan di seluruh negara dengan kekuatan 375 anggota.

Beliau berkata daripada lebih 13,000 keanggotaan JBPM di seluruh negara, hanya 600 anggota dan pegawai yang mempunyai kemahiran melakukan kerja-kerja menyelamat di permukaan dan dasar air dengan kemahiran menyelam.

"Ia tidak sampai satu peratus daripada jumlah keanggotaan keseluruhan dan dengan keperluan yang mendesak pada masa sekarang terutama apabila semakin banyak kes kemalangan di air dilaporkan, kami merancang untuk memperkasakan lagi Pasukan Penyelamat di Air," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama pada Program Motivasi Pasukan Penyelamat di Air di Pulau Perhentian di sini Isnin yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi JBPM Datuk Mahadi Md Ali dan Ketua Cawangan Pengurusan JBPM Azmi Tamat.

Amer berkata statistik panggilan kecemasan yang melibatkan kematian di air meningkat iaitu daripada 26 orang pada tahun 2008 kepada 293 orang pada tahun 2009.

Selain itu, 77 kematian dicatatkan bagi tempoh Januari-Mac tahun ini dan jumlah itu menurun daripada 84 kematian dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Sementara itu, program selama tiga hari dua malam itu disertai oleh 103 anggota dan pegawai bomba dari seluruh negara yang diadakan bagi menyampaikan maklumat terkini daripada pengurusan tertinggi kepada semua penyelam selain meningkat kemahiran yang sedia ada.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk latihan simulasi menyelamat di air, dan latihan menyelam di dasar laut serta aktiviti motivasi.

-- BERNAMA



Anggota Paramedik, Jabatan Bomba dan Penyelamat memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa lemas yang berjaya diselamatkan ketika program Motivasi Pasukan Penyelamat di Air di Pulau Perhentian di sini hari ini.


Anggota Pasukan Penyelamat di Air, Jabatan Bomba dan Penyelamat menyelamatkan mangsa lemas ketika program Motivasi Pasukan Penyelamat di Air di Pulau Perhentian

Tiada ulasan:

Catat Komen

HULU SELANGOR AMATEUR RADIO FAN CLUB