Selasa, Julai 24, 2012

PENGETAHUAN DAN CARA KIBAR JALUR GEMILANG SUDAH PUPUS




PENGETAHUAN DAN CARA KIBAR JALUR GEMILANG SUDAH PUPUS



Bendera Malaysia telah diisytiharkan sebagai nama Jalur Gemilang pada 30 Ogos 1997 jam 11.58 malam di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Semenjak dari itu bendera negara dikenali dan dipanggil Jalur Gemilang.

Sejarah Jalur Gemilang bermula apabila akhbar The Malay Mail mengelolakan pendapat umum terhadap tiga reka bentuk yang terpilih di peringkat akhir pertandingan mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1949.

Pada 28 November 1949, majoriti orang ramai memilih reka bentuk ketiga ciptaan seorang pekerja Jabatan Kerja Raya Johor yang bernama Mohamad bin Hamzah. Reka bentuk tersebut telah dibuat beberapa pindaan dan telah mendapat perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 23 Februari 1950.

Pada 19 Mei 1950, kerajaan British telah meluluskan reka bentuk bendera tersebut, sama seperti Jalur Gemilang sekarang. Cuma bezanya pada masa itu ia mempunyai 11 jalur merah putih. Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan secara rasminya pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor yang dihadiri oleh semua Raja-Raja Melayu dan wakil kerajaan British.

Itulah sejarah bermulanya Jalur Gemilang yang kita kibarkan pada hari ini. Bendera berkait rapat dengan semangat patriotik dalam mempertahankan maruah bangsa, agama dan negara. Pujangga pernah berkata, "bendera adalah suatu perkara yang mudah iaitu tidak lebih daripada secebis kain berwarna. Walaubagaimanapun kerananya manusia sanggup bermati-matian".

Sejauhmana kita menghargai bendera Jalur Gemilang sebagai suatu lambang kewujudan dan kedaulatan negara kita?. Sejauhmana pula pengetahuan dan sikap kita mengenai hak mengibarkan bendera, cara-cara mengibar, susunan pengibaran Jalur Gemilang, dan juga cara menghormati bendera?.

Masih ramai yang teringat untuk mengibarkan Jalur Gemilang hanya apabila tiba musim bulan kemerdekaan sahaja. Tiada usaha untuk mengibarkan bendera negara dan negeri pada hari-hari biasa selain sambutan kemerdekaan. Itupun setelah ditegur oleh pihak kerajaan.

Kebanyakan daripada kita sama ada di jabatan kerajaan, pihak swasta, sekolah, institusi pengajian tinggi dan orang perseorangan mengibarkan Jalur Gemilang di atas tiang sejak dari mula bendera itu di pasang sehingga bendera itu usang, reput dan lusuh.

Kebanyakan mengibarkan bendera pada bulan sambutan kemerdekaan dan akan membiarkan bendera itu di makan hujan dan panas sehinggalah sambutan merdeka di tahun hadapan. Walaupun ada pejabat dan premis menetapkan individu tertentu menaik dan menurunkan bendera, tetapi bilangannya amat kecil sekali. Dimanakah semangat kita terhadap bendera negara kita sendiri?.

Tindakan perlu diambil oleh pihak yang berkuasa untuk mengeluarkan suatu garis panduan dan rujukan seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada jabatan kerajaan, pihak swasta, sekolah dan orang ramai sendiri sebagai bertujuan memberikan kefahaman dan penyeragaman pengibaran Jalur Gemilang.

Tujuannya adalah untuk meyemarakkan lagi semangat patriotik, perasaan bangga, menghormati, memuliakan serta cinta dan taat setia kepada negara. Penghormatan kepada bendera kita seharusnya dijadikan iltizam setiap warganegara untuk mendaulatkan negara.

Sedih apabila melihat bendera dikibarkan sudah lusuh warnanya dan seolah-olah tiada keprihatinan pemilik bangunan atau premis berkenaan untuk mengambil berat tentang bendera negara. Walaupun mungkin ada yang berpendapat itu soal remeh, namun pandangan orang luar akan membuat tafsiran bahawa rakyat negara ini tidak ada semangat patriotik dan cinta terhadap negara. Ini sedikit sebanyak mencalarkan imej negara.

Pujian harus diberikan kepada Hotel Naza Melaka kerana telah memperkenalkan inisiatif sendiri di dalam kaedah mengibar dan menurunkan Jalur Gemilang. Menurut Eksekutif Front Officenya, sudah menjadi rutin harian sejak beberapa tahun dahulu pekerjanya mengibarkan Jalur Gemilang pada waktu pagi dan menurunkannya tepat jam 7 petang. Penghormatan dan kaedah pengibaran Jalur Gemilang hotel ini sepatutnya menjadi contoh kepada premis perniagaan dan jabatan kerajaan. 

Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1994 yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan menetapkan supaya bendera dikibarkan dan diturunkan di bangunan-bangunan kerajaan mengikut waktu pejabat biasa, dan di sekolah-sekolah mengikut waktu bermula kelas pertama dan menurunkannya selepas kelas terakhir tamat, namun arahan ini masih ramai yang tidak mematuhinya.

Eloklah dicadangkan waktu pengibaran Jalur Gemilang mengikut amalan tradisi di dalam Angkatan Tentera Malaysia iaitu dikibarkan mulai pukul 7 pagi dan diturunkan pada pukul 7 petang.

Pemilik premis dan bangunan sama ada pihak kerajaan atau swasta haruslah lebih peka dan bertanggungjawab di dalam soal pengibaran Jalur Gemilang ini. Amat buruk pada pandangan mata apabila melihat bendera negara sudah koyak rabak, lusuh malah cara pengibarannya pun tidak betul, tetapi bangunan dan premis berkenaan sangat cantik dan bersih pula. Sememangnya kontra dengan keadaan bendera yang sudah seperti kain buruk tetapi bangunan begitu cantik dipandang.

Sikap bertanggung jawab mestilah dipupuk di setiap hati warganegara Malaysia di dalam soal menghargai dan menghormati bendera negara. Janganlah terjadi seperti beberapa tahun dahulu seorang model bergaya di dalam majalah dengan tubuh disaluti Jalur Gemilang dengan aksi yang seksi.

Setiap warga Malaysia perlu tahu dimana kedudukan dan keutamaannya bendera negara. Janganlah mencemarkan imej Jalur Gemilang sebagai bendera kebanggaan rakyat Malaysia. 

Posted by TANAH MELAYU at 3:04 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HULU SELANGOR AMATEUR RADIO FAN CLUB

TOUCHING HEART

Loading...